Oleh Halina Mohd Noor,
wartawan Berita Harian
(Yang menyertai Misi
Kemanusiaan Kemboja 2010 bersama sukarelawan Yayasan Salam Malaysia)
halina@bharian.com.my, 2010/12/12
Sukarelawan Yayasan Salam dan Rakan
Muda 'berkorban' bersama penduduk Islam Kemboja
HATI cukup tersentuh tatkala melihat penduduk Kampung Ayer di Tasik Tonle Sap,
Wilayah Siem Reap, Kemboja mengambil wuduk menggunakan air tasik yang keruh dan
hanyir. Tasik itu jugalah punca air mereka mencuci beras, pinggan mangkuk dan
sebagainya.
Penduduk di sini juga hidup seakan nomad di atas tasik yang juga disifatkan
sebagai ‘Mahkota Kemboja’ kerana saiznya yang luas. Mereka terpaksa memindahkan
rumah masing-masing ke sebelah barat tasik apabila musim kering pada Disember
dan kembali semula pada Jun hingga November apabila air naik memenuhi tasik.
Kedaifan bukan saja membelenggu penduduk penempatan bergelar Kampung Ayer ini
yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan di sini tetapi hampir kebanyakan
masyarakat di negara penuh sejarah hitam ini. Kebanyakan mereka hanya makan
sekali sehari, itupun dengan sejenis lauk saja sama ada ikan atau sayur yang
direbus.
Kemiskinan menyebabkan hampir 90 peratus penduduk di sini kurus kerana tidak
mendapat khasiat makanan diperlukan. Hanya setahun sekali mereka makan daging
lembu. Itupun jika ada rakyat Malaysia yang sudi menjalankan korban pada Aidil
Adha di kampung mereka.
Tidak hairanlah apabila kunjungan kami ke Kampung Khpob di Wilayah Cham diisi
insiden lucu apabila penduduk kelihatan geli hati sambil memicit otot pejal
milik salah seorang sukarelawan Rakan Muda yang berbadan gempal dan rendah.
Mungkin susuk tubuh seperti itu begitu asing buat mereka.
Mungkin disebabkan budaya ditambah kerana tidak mampu, masyarakat di sini juga
hanya bersarapan pagi dengan air kopi pekat atau teh Kemboja berbanding di
negara kita yang meriah dengan pelbagai jenis kuih, roti canai, nasi lemak dan
sebagainya.
Beberapa sukarelawan yang kelaparan di pagi hari, cuba mendapatkan sarapan di
kedai kopi terdekat selepas tuan rumah tidak menyediakan sebarang hidangan
tetapi ternyata hanya minuman seperti teh, kopi, air tebu dan ais kacang
dijual.
Namun rezeki tetap ada apabila keluarga sukarelawan Yayasan Salam di Kemboja,
Mohd Sulaiman menyediakan sarapan roti panjang yang dimakan dengan telur itik
goreng kerana memahami tabiat orang Malaysia yang akan mencari makan sebaik
celik mata di pagi hari.
Inilah hakikat kehidupan di sini yang tidak menjadikan makan sebagai budaya.
Mereka mengisi perut untuk hidup dan bukan hidup untuk makan dek kesusahan yang
dialami. Justeru, kedatangan orang Malaysia yang menjalankan ibadat korban di
kampung mereka disambut gembira.
Tahun lalu, ketika sukarelawan Yayasan Salam mengadakan kenduri daging korban
bersama penduduk Kampung Tropengbeang di Wilayah Kratie, mereka didatangi
seorang wanita berusia awal 20-an bersama seorang lelaki yang dikenali sebagai
Romzi.
Wajah mereka tampak keletihan selepas menunggang motosikal selama lima jam dari
Kampung Tanakkiri dalam wilayah yang sama semata-mata untuk memohon simpati
meminta sebahagian daging lembu untuk diagih-agihkan kepada penduduk kampung.
“Sudah bertahun hari raya (Aidiladha) tiada korban di kampung kami. Kampung
kami jauh, tiada orang Malaysia mahu datang... seekor pun jadilah,” kata Romzi
yang hanya mampu menitiskan air mata apabila diberitahu lembu sudah habis
dikorbankan dan tiada lagi yang berbaki.
Tahun ini seperti dijanjikan, Yayasan Salam memastikan Romzi dan penduduk
kampungnya menerima daging korban berkenaan.
Bagi penulis yang baru pertama kali beraya tanpa keluarga di perantauan, takbir
pada malam Aidil Adha begitu sayu dirasakan. Mana tidaknya, Kampung Khpob sunyi
sepi seperti tiada apa yang istimewa. Tiada suasana riuh rendah orang kampung
memasak rendang mahupun menganyam ketupat.
Bagaimanapun, penulis insaf apabila melihat betapa orang kampung di sini tetap
menyambutnya dengan meriah walaupun tanpa hidangan mewah. Mereka tetap keluar
beramai-ramai dengan baju cantik mengunjungi jiran tetangga selepas
bersembahyang raya.
Suasana begini sudah lama tidak dilihat di tanah air kita kerana masing-masing
membawa diri dan menyambut hari raya bersama keluarga terdekat saja.