Sumber : http://halaqah.net
Pengertian Qurban
Dari segi bahasa,
qurban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah subhanahu wata‘ala.
Dari sudut syara‘,
qurban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang
tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala.
PENSYARI‘ATAN
DAN HIKMAHNYA
Qurban telah
disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang
Hari Raya.
Firman Allah
subhanahu wata‘ala:
Maksudnya:
“Maka kerjakanlah
sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban (sebagai tanda syukur)”
(Surah Al-Kauthar
108:2)
Hikmah disyari‘atkan
qurban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allah subhanahu wata‘ala di atas
segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke
tahun.
Ia juga bertujuan
menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang
telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di
samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga
mereka yang lain.
Qurban tidak
memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah
yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut
amalan menyembelih qurban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai
harganya.
HUKUM MELAKUKAN QURBAN
Hukum
melakukan qurban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.
Sabda Nabi Muhammad
sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Aku
diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu”
(Riwayat Tirmizi)
SYARAT-SYARAT QURBAN
Syarat qurban
dapat dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:
Syarat Wajib/Sunat
Qurban.
Syarat Sah Qurban.
Syarat Mereka Yang
Dituntut Berqurban.
Syarat Wajib/Sunat
Qurban
1.
Untuk dijadikan ibadah qurban wajib ataupun sunat adalah
disyaratkan dia mampu melaksanakannya.
2.
Orang yang dianggap mampu ialah mereka yang mempunyai harga untuk binatang
qurban yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang di bawah
tanggungannya untuk hari raya dan hari–hari tasyrik kerana inilah tempoh masa
bagi melakukan qurban tersebut.
3.
Kedudukannya sama seperti dalam masalah zakat fitrah, mereka mensyaratkan
ia hendaklah merupakan yang lebih daripada keperluan seseorang juga keperluan
mereka yang di bawah tanggungannya pada hari raya puasa dan juga malamnya
sahaja.
Syarat Sah Qurban
Hendaklah binatang
yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan
kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudharatan terhadap
kesihatan. Contohnya cacat yang teruk pada salah satu matanya, berpenyakit yang
teruk, tempang atau kurus yang melampau.
Hendaklah qurban
itu dalam masa yang tertentu iaitu selepas sembahyang Hari Raya Haji pada 10
Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari pada akhir Hari Tasyrik iaitu pada
13 Zulhijjah.
Hendaklah
disembelih oleh orang Islam.
Orang yang
berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana
masing–masing menyumbang 1/7 bahagian.
Syarat Mereka Yang
Dituntut Berqurban
Islam.
Merdeka.
Aqil Baligh.
Bermukim atau
Musafir.
Berkemampuan.
WAKTU
PELAKSANAAN IBADAH QURBAN
Waktu bagi
menyembelih qurban bermula setelah selesai sembahyang Hari Raya dan bacaan
khutbahnya iaitu setelah naik matahari sekadar segalah. Masanya berterusan
siang dan malam sehingga Hari Tasyrik yang akhir iaitu sebelum terbenam
matahari pada hari tersebut. Ini berdasarkan hadis Nabi yang diriwayat oleh
Al-Barra’ bin ‘Azib :
“Perkara pertama
yang kita mulakan pada hari ini ialah bersembahyang, kemudian kita balik dan
melakukan penyembelihan qurban. Sesiapa yang melakukan demikian maka dia telah
menepati sunnah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum itu, maka ia merupakan
daging yang disediakan untuk ahli keluarganya. Ia tidak dikira sebagai ibadah
khas (qurban) ini sedikit pun.”
BINATANG QURBAN
Perbincangan
tentang binatang qurban ini meliputi empat perkara :
Jenis binatang yang
diqurban.
Umur binatang
qurban.
Kadar binatang yang
disembelih.
Sifat–sifat
binatang qurban.
1. Jenis Binatang
Yang Diqurban
Para ulama’
sependapat bahawa ibadah qurban tidak sah kecuali dengan menggunakan binatang
an‘am, iaitu binatang jinak yang berkaki empat seperti unta, lembu dan kerbau,
kambing biri–biri dan semua yang termasuk dalam jenisnya, sama ada jantan atau
betina. Oleh itu, tidak sah berqurban dengan menggunakan binatang yang lain
daripada binatang an‘am ini seperti kerbau liar dan kijang.
Firman Allah
subhanahu wata‘ala:
{ وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ اْلأَنْعَمِ }
Maksudnya:
“Dan bagi tiap-tiap
satu umat, Kami syari‘atkan ibadah menyembelih qurban (atau lain-lainnya)
supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada
mereka: binatang-binatang ternak yang disembelih itu.”
(Surah Al-Hajj
22:34)
Tidak terdapat
sebarang dalil sama ada yang dinaqalkan daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi
wasallam atau sahabat yang menunjukkan mereka berqurban dengan binatang selain
daripada binatang-binatang ternakan (an‘am) ini. Oleh kerana qurban merupakan
satu ibadah yang dikaitkan dengan binatang, maka ia hanya ditentukan kepada
binatang an‘am sahaja sama seperti ibadah zakat.
Adapun binatang
yang lebih afdhal diqurban ialah unta diikuti dengan lembu kemudian biri-biri
atau kibasy kemudian kambing. Ini memandangkan kuantiti dagingnya yang lebih
banyak bagi maksud pengagihan yang lebih meluas untuk fakir miskin.
Nabi sallallahu
‘alayhi wasallam juga telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mandi
pada hari Jumaat dengan mandi junub, kemudian dia pergi (ke Jumaat) maka dia
seolah-olah telah berqurban seekor unta. Sesiapa yang pergi pada saat kedua
maka dia seolah-olahnya berqurban dengan seekor lembu. Sesiapa yang pergi pada
saat ketiga maka dia seolah-olah berqurban dengan seekor kibasy yang bertanduk.”
2. Umur
Binatang Qurban
Umur binatang yang
hendak diqurbankan berbeza-beza mengikut jenis binatang iaitu:
Unta disyaratkan
telah berumur lima tahun dan masuk ke umur enam tahun.
Kambing dan lembu
disyaratkan telah berumur dua tahun dan masuk ke umur tiga tahun.
Kibasy disyaratkan
telah memasuki umur dua tahun.
Bagi anak unta,
lembu, kambing dan kibasy yang telah berumur dua tahun lebih (yang telah
bersalin gigi) harus dijadikan qurban.
3. Kadar Binatang
Yang Disembelih
Para fuqaha’
bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy hanya mencukupi sebagai
qurban untuk seorang sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk
menjadi qurban bagi tujuh orang. Ini berdasarkan hadith Jabir:
“Kami berqurban
bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam semasa di Hudaybiyah dengan
seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.”
Dalam riwayat
Muslim pula menyebut :
“Kami keluar
bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan kami berniat Haji. Maka
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah memerintahkan kami supaya
berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang
berkongsi seekor unta.”
4. Sifat–Sifat
Binatang Qurban
Sifat–sifat
binatang qurban sama ada betina atau jantan yang digariskan oleh syara‘ adalah
seperti berikut:
Terang
penglihatannya iaitu tidak buta.
Tidak cacat seperti
kudung kaki, putus ekornya, terpotong hidungnya atau sebagainya.
Gemuk, tidak harus
pada binatang yang terlalu kurus.
Ciri-ciri yang
afdhal terdapat pada binatang qurban itu:
Gemuk pada
keseluruhan anggotanya.
Bertanduk.
Putih warna bulunya
(pada kibasy).
Jantan.
Sifat yang makruh
pada binatang qurban:
Rabit telinganya.
Terpotong sedikit
bahagian belakang atau depan telinganya.
Tidak mempunyai tanduk
sejak asalnya.
Patah tanduk
sebelah atau keduanya atau pecah bahagian tanduknya.
Tanggal sebahagian
giginya disebabkan tua atau jatuh.
Kabur
penglihatannya.
HUKUM DAGING QURBAN
Bagi qurban sunat,
maka tuannya sunat memakannya, iaitu yang afdhalnya dia hendaklah memakannya
beberapa suap sebagai mengambil berkat. Ini bersesuaian dengan firman
Allah subhanahu wata‘ala:
{ فَكُلُواْ مِنْهَا وَأَطْعِمُواْ الْبَآئِسَ الْفَقِيرَ }
Maksudnya:
“Dengan yang
demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah
makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
(Surah Al-Hajj,
22:28)
Hadith yang
diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi pula ada menyebut bahawa Rasulullah sallallahu
‘alayhi wasallam telah memakan sebahagian daripada hati binatang qurbannya.
Hukum memakan daging qurban pula tidak wajib, ini berdasarkan firman Allah
subhanahu wata‘ala:
{ وَالْبُدْنَ جَعَلْنَهَا لَكُم مِّن شَعَآئِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ }
Maksudnya:
“Dan Kami jadikan
unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syi‘ar
agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi
kamu.”
(Surah Al-Hajj,
22:36)
Dalam ayat ini
Allah menjelaskan bahawa ia dijadikan untuk kita. Setiap perkara yang dijadikan
untuk manusia, maka dia diberi pilihan sama ada mahu memakannya atau tidak.
Orang yang
berqurban juga boleh menjamu kepada kalangan yang kaya, tetapi tidak boleh
diberi milik kepada mereka. Yang boleh cuma dihantar kepada mereka sebagai
hadiah yang mana mereka tidak akan menjualnya atau sebagainya
Mengikut pendapat dalam qawl jadid, orang yang berqurban
boleh memakan sebahagian daripada qurbannya. Mengikut qawl qadim pula harus
memakan sebanyak separuh, manakala bakinya hendaklah disedekahkan.
Sebahagian ulama’
berpendapat daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 daging
disedekahkan dalam keadaan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3
daging dimakan oleh orang yang berqurban.
Pendapat yang asah
pula, adalah wajib bersedekah dengan sebahagian daripada daging qurban walaupun
sedikit kepada orang Islam yang fakir walaupun seorang. Walaubagaimanapun, yang
lebih afdhal hendaklah disedekahkan kesemuanya kecuali memakannya beberapa suap
untuk mengambil keberkatan seperti yang telah dijelaskan.
Bagi qurban sunat
pula, orang yang berqurban boleh sama ada bersedekah dengan kulit binatang
tersebut atau menggunakan sendiri, seperti mana dia harus mengambil faedah
daripada binatang itu semasa hidupnya. Tetapi bersedekah adalah lebih afdhal.
Bagi qurban yang wajib pula, kulit binatang itu wajib disedekahkan.
© Jabatan Mufti
Negeri Melaka