SELAMAT DATANG ke Kemboja!
Kata-kata ini datang dari Zaini, anak muda Kemboja yang pulang bercuti ke
kampongnya, Praksandai, kira-kira lima jam perjalanan dari Phnom Penh, ibu
negara Kemboja.
Saya dan rombongan sukarelawan dari Yayasan Salam
Malaysia tergamam seketika apabila mendengar kata-kata itu. Zaini fasih
berbahasa Melayu dan melayan semua soalan saya dan rakan-rakan dengan jelas dan
penuh sopan.
Zaini bekerja beberapa tahun di Johor, di sebuah
kilang besi yang membuat gril dan pagar rumah. Dia pulang bercuti untuk
menyambut Hari Raya Haji awal minggu hadapan. Kampongnya terletak di sebelah
Sungai Mekong, yang menjadi sumber keperluan air semua penduduk di kampung itu.
Air Sungai Mekong yang sewarna dengan teh tarik
Malaysia memberi nyawa dan rezeki kepada semua penduduk. Sepanjang saya di
kampong itu, kami mandi, memasak, membasuh pakaian dan minum air sungai itu.
Alhamdulillah, setakat ini tidak seorang pun ahli
rombongan saya mengalami masalah akibat minum air sungai itu. Kebanyakan kami
minum air botol tetapi semua masakan menggunakan air yang sama.
Yayasan Salam berada di sini atas rayuan penduduk
tempatan yang berusaha membaikki sekolah dan rumah ibadat. Sebahagian ahli
rombongan tinggal di sini dan hanya akan pulang selepas sambutan Hari Raya
Korban.
Anak muda seperti Zaini ini mengeloh apabila
memandingkan hidupnya di Malaysia dengan Kemboja. Dengan nada sedih, Zaini
berkata kos sara hidup di Kemboja amat tinggi manakala kuasa membeli rendah dan
terhad.
Anak muda itu berkata, apabila saya pulang ke
sini, saya bawa duit untuk keluarga. Tetapi ia habis dalam sekelip mata,
ujarnya sambil menggelengkan kepala. Saya kena kerja lebih kuat. Sekarang saya
sudah ada anak, dan saya perlu banyak wang.
Jika keadaan memaksa, Zaini tiada pilihan dan akan
ke Malaysia semula untuk mencari rezeki. Dia terpaksa berkorban demi
kepentingan keluarga dan dirinya.
Kampong yang saya dan sukarelawaan lawati untuk
projek kemanusiaan ini adalah antara kampong yang termiskin di Kemboja. Tidak
ada kilang di kawasan berhampiran. Tidak ada bisnes besar yang boleh memberi
kerja. Tidak ada pusat perniagaan yang besar.
Zaini memberitahu saya, kebanyakan penduduk
kampong bertani. Mereka hidup kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang.
Mereka juga bertani menikut cara lama, menanam padi menggunakan kerbau, menuai
dengan tenaga buruh yang ramai, menangkap ikan secara lama, dan nenjual hasil
tanaman dan tangkapan di sekitar kawasan kampong.
Yayasan Salam akan mengumpul maklumat lengkap dan
akan mencari jalan bagaimana kami boleh membantu membangunkan masyarakat dengan
usaha-usaha baru. Penyertaan individu dermawan dan syarikat yang ingin menabur
bakti boleh menghubungi kami untuk tujuan berkenaan.